| JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI BINTULU: Kerajaan komited untuk menaik taraf sistem saliran di kawasan berisiko tinggi sebagai langkah mengatasi masalah banjir di Bintulu. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, banjir luar biasa yang berlaku pada 28 dan 29 Januari lalu, khususnya di RPR Sebiew, Taman Bukit Orang dan Taman Bandar Jaya, menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan infrastruktur saliran bagi mengelak kejadian serupa daripada berulang. “Kita perlu mengambil tindakan segera bagi menambah baik sistem saliran dan perparitan di kawasan yang sering terjejas. “Ini bukan sekadar penyelesaian jangka pendek tetapi langkah berterusan untuk memastikan kawasan bandar lebih bersedia menghadapi perubahan cuaca ekstrem,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan banjir oleh RHB Bank Bhd Cawangan Bintulu di Naim Paragon petang tadi. Seramai 200 ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir di sekitar Bintulu menerima bantuan tunai sebanyak RM500 daripada bank tersebut. Johnny turut menekankan bahawa perancangan bandar yang lebih lestari akan diberi keutamaan dalam usaha mitigasi banjir, termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir serta penyelenggaraan sistem saliran sedia ada. Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, pasukan penyelamat, sukarelawan, NGO serta rakyat yang berganding bahu membantu mangsa banjir. “Ini mencerminkan semangat perpaduan yang luar biasa di Bintulu,” ujarnya. Beliau juga memberi jaminan bahawa usaha menaik taraf sistem saliran akan dipantau secara berterusan bagi memastikan keberkesanannya dalam menangani bencana alam pada masa hadapan. “Kita tidak boleh hanya bertindak selepas bencana berlaku. “Langkah pencegahan perlu diperhebatkan, dan saya akan memastikan usaha ini dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. Pengarah RHB Bank Bhd Wilayah Sarawak , Mohammad Tony Ong Abdullah, hadir sama.. |