| ROBAN: Satu sesi libat urus dan taklimat projek bekalan air di Brayang, Mudong dan Ulu Sebetan, Roban diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Roban, kelmarin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata setelah beberapa kali mengutarakan masalah bekalan air bersih di kawasan Brayang, Mudong dan Ulu Sebetan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akhirnya permohonan tersebut telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak. “la memberi berita gembira kepada lebih kurang 400 pintu bilik di kawasan tersebut dengan jarak lebih kurang 34 kilometer (km) panjang. “Saya berharap projek yang amat signifikan ini dapat bermula pada suku kedua 2025 ini. “Setelah siap projek ini nanti, hampir 100 peratus penduduk rumah panjang di kawasan DUN Krian menikmati air bersih terawat. Secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat di kawasan tersebut,” katanya. Berucap bagi pihak semua rumah panjang yang terlibat, Penghulu Jos Manggie mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah meluluskan projek tersebut yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk setempat setelah sekian lama. “Saya meminta dan menyeru agar penduduk dan wakil rakyat terus bekerjasama dan mendukung kerajaan sedia ada untuk memastikan pembangunan terus dipergiatkan di kawasan Krian demi kesejahteraan rakyat,” katanya.. |