| Februari 15, 2025, Sabtu - 7:30am Program Himpunan Usahawan Sabah 2025 beri pengiktirafan, kongsi pelbagai manfaat Oleh Siti Aisyah Narudin Februari 15, 2025, Sabtu - 7:30am Program Himpunan Usahawan Sabah 2025 beri pengiktirafan, kongsi pelbagai manfaat Oleh Siti Aisyah Narudin KOTA KINABALU: Komitmen Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam membantu membangunkan golongan usahawan di negeri ini terus diperkasakan bagi memastikan setiap kemudahan dan program yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Seiring dengan langkah itu, buat julung kalinya Program Himpunan Usahawan Sabah 2025 dilaksanakan sebagai tanda komitmen berterusan MARA dalam memberi pengiktirafan kepada usahawan di Sabah. Sekitar 500 usahawan tempatan dari seluruh Sabah termasuk peserta jemputan dari pelbagai agensi kerajaan negeri, Persekutuan serta Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sama-sama menjayakan program yang turut menampilkan beberapa perkongsian kejayaan daripada usahawan tempatan negeri ini. Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA Datuk Zulfikri Osman berkata, tahun ini MARA menyediakan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk pembangunan usahawan Sabah melalui pelbagai program dan kemudahan. Menurutnya, dengan jumlah peruntukan berkenaan, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya seramai 2,500 usahawan di Sabah akan dapat menerima manfaat dan bantuan menerusi program pembangunan usahawan yang disediakan MARA. Pada masa ini, majoriti usahawan di Sabah terlibat sama ada dalam bidang makanan dan minuman (F&B) dengan menghasilkan produk makanan dan minuman ataupun gaya hidup (lifestyle) iaitu mereka menghasilkan produk-produk pakaian. "Tetapi dengan program-program baharu yang kita wujudkan, berkaitan dengan industri automotif misalnya, saya rasa ini akan dapat memberi banyak peluang kepada usahawan-usahawan muda di negeri Sabah. "Begitu juga dengan usahawan dari industri yang berkaitan dengan bidang elektrik dan juga bidang penyejukbekuan," katanya kepada media selepas menyampaikan Bicara Perdana sempena Program Himpunan Usahawan Sabah 2025 di sini pada Rabu. Beliau berkata pihak MARA turut berharap untuk mewujudkan beberapa usahawan dalam industri tenaga boleh baharu dan solar dengan memfokuskan kepada golongan usahawan muda di negeri ini. Sehubungan itu, pihaknya mahu semua peserta yang hadir pada program itu untuk merebut peluang yang ditawarkan oleh MARA untuk rakyat Sabah. Katanya, salah satu tujuan Himpunan Usahawan Sabah 2025 diadakan adalah untuk berkongsi maklumat dan informasi agar dapat disebarkan kepada semua usahawan sedia ada dan juga mereka yang berpotensi menjadi usahawan pada masa akan datang. "Saya percaya, ini sudah tentu akan memberi impak yang sangat positif kepada ekonomi negeri Sabah, terutamanya dari segi peningkatan pendapatan negeri. "Pada masa sama, ia juga mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Sabah. "Bayangkan kalau seorang usahawan itu membuka bengkel, dia tidak bekerja seorang diri, paling-paling tidak, satu bengkel kereta itu mesti ada tiga atau empat pekerja lain yang diambil, sudah tentu daripada kalangan rakyat tempatan," jelasnya. Sehubungan itu, beliau berharap para usahawan di Sabah terus memberi sokongan dan bekerjasama dengan MARA. Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri Sabah juga bersama pihak berkuasa tempatan terus memberi sokongan kepada setiap usaha pembangunan yang dijalankan oleh MARA. "Selama ini, di Sabah kita menerima kerjasama yang sangat baik daripada kerajaan negeri dalam memudahkan MARA untuk melaksanakan perancangan yang diatur untuk rakyat negeri Sabah khususnya para usahawan," katanya. Sempena dengan Program Himpunan Usahawan Sabah 2025, sebanyak 18 reruai dibuka yang menampilkan 'Borneo Authentic Showcase' bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan perniagaan usahawan MARA yang berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing. Pada masa sama, program berkenaan juga menyasarkan peningkatan rangkaian dan peluang perniagaan dalam kalangan usahawan tempatan Sabah dan pihak yang berkepentingan. Para peserta yang terlibat diberi pendedahan mengenai peluang-peluang perniagaan, cabaran selain dapat meningkatkan jumlah jaringan perniagaan baharu semasa program dijalankan. Salah satu aktiviti yang dijalankan iaitu program 'Pocket Talk Perniagaan' menyediakan peluang kepada usahawan untuk mendapat khidmat nasihat secara terus daripada usahawan yang berjaya. Ia sekali gus membantu meningkatkan pengetahuan awam terhadap peranan dan imej MARA dalam membangunkan usahawan bumiputera. Menerusi program ini juga, ia mampu menonjolkan peranan MARA yang lebih besar di Sabah termasuk agensi di bawah MARA, anak syarikat MARA seperti GIATMARA, Rural Capital Berhad (RCB), Pelaburan MARA Berhad (PMB), dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM). Sementara itu, salah seorang peserta program iaitu usahawan inap desa tempatan Sabah yang mewakili Persatuan Perkumpulan Perempuan Sabah Napsinah Justin berkata, dengan menyertai Program Himpunan Usahawan Sabah 2025, banyak maklumat dan penerangan yang dikongsikan sebagai manfaat bersama. Menurutnya, mendengar penjelasan dan perkongsian terutama berkaitan pembiayaan program, ia menambahkan lagi semangat dan mendorong dirinya untuk lebih berani menghadapi cabaran dalam bidang perniagaan. "Saya seronok mendengar penerangan daripada Datuk Zulfikri mengenai pelbagai program dan kemudahan yang disediakan pihak MARA. "Selain itu, saya juga berterima kasih kepada pihak penganjur kerana melalui program ini banyak ilmu pengetahuan yang saya pelajari seperti penerangan mengenai e-invois daripada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," jelasnya. Beliau berkata, sebagai usahawan yang baharu berkecimpung dalam bidang perusahaan inap desa (homestay), setiap maklumat dan perkongsian berkenaan akan membantu pihaknya untuk memperkembangkan lagi perusahaan yang dijalankan. Napsinah turut menyedari persaingan besar bidang perusahaan inap desa di negeri ini. Namun perkara itu dijadikan sebagai panduan untuk terus berusaha dan mencapai sasaran yang ditetapkan. Beliau turut merancang untuk menambah unit homestay dengan pelbagai promosi serta pendekatan yang relevan dengan pasaran semasa. Pihaknya yakin, setiap kemudahan dan program yang disediakan pihak MARA akan membantu lebih ramai golongan usahawan tempatan di seluruh Sabah untuk meraih kejayaan dalam perniagaan masing-masing. Turut hadir pada program itu Pengarah MARA Negeri Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat.. |