| KUALA LUMPUR: Ketamadunan sesebuah bandar diukur pada keharmonian, kesejahteraan serta keadilan sosial warganya, dan bukan berdasarkan bangunan KUALA LUMPUR: Ketamadunan sesebuah bandar diukur pada keharmonian, kesejahteraan serta keadilan sosial warganya, dan bukan berdasarkan bangunan pencakar langit atau kemegahan infrastruktur semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa. Beliau berkata, tiada makna jika ibu negara memiliki bangunan pencakar langit tertinggi di rantau ini tetapi masih ada rakyat yang terpaksa bergelut dalam kesukaran hidup. "Tidak ada ertinya jika rakyat berbangga dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara bandar terbaik di dunia, namun aspek sosial seperti kebersihan dan kesejahteraan sosial masih diabaikan. "Kita juga tidak boleh berpuas hati sekiranya taraf ekonomi bandar raya ini terus berkembang pesat tetapi mentaliti dan kesedaran sivik rakyatnya masih berada pada tahap lemah. "Inilah yang dimaksudkan sebagai ketamadunan MADANI yang digagaskan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), iaitu kemajuan fizikal perlu diimbangi dengan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Harmoni 2025 dan Program Perarakan Harmoni yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di Dataran Merdeka, malam tadi. Dr Zaliha menekankan dalam usaha mencapai ketamadunan itu, negara memerlukan dasar serta inisiatif yang benar-benar memberi impak kepada rakyat. Bagi Wilayah Persekutuan, beliau berkata, beberapa langkah penting telah dilaksana bagi memastikan kesejahteraan sosial rakyat terus diperkukuhkan. "Alhamdulillah, di Wilayah Persekutuan pada 2024, kita berjaya mengeluarkan 99.9 peratus daripada jumlah data miskin tegar dikunci daripada belenggu kemiskinan tegar melalui pelbagai bantuan, termasuk mendayaupayakan ketua isi rumah untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan," katanya. Sebagai tuan rumah ASEAN 2025 dan sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan pula, beliau berkata, Wilayah Persekutuan akan memainkan peranan utama dalam menampilkan imej negara yang harmoni, progresif dan bersatu padu. Sementara itu, Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan tema 'Harmoni Dalam Kepelbagaian' dan Inisiatif Harmoni MADANI bagi memperkukuhkan keharmonian sesama masyarakat pelbagai kaum dan penganut agama di Malaysia.. |