| KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen memacu pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya saing untuk memastikan kesejahteraan rakyat, terutama di kawasan luar bandar. KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen memacu pembangunan ekonomi yang mampan dan berdaya saing untuk memastikan kesejahteraan rakyat, terutama di kawasan luar bandar. Menurut laporan Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia Suku Keempat 2024, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 5.0 peratus pada suku keempat tahun 2024 dan 5.1 peratus bagi keseluruhan tahun, berbanding 3.6 peratus pada 2023. Menyambut baik laporan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata angka berkenaan mencerminkan ketahanan ekonomi negara dan keberkesanan dasar kerajaan dalam memastikan pertumbuhan yang mampan serta berdaya saing. "Saya percaya kejayaan ini mesti diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat, seperti membawa lebih banyak peluang pekerjaan, pembukaan perniagaan baharu, peningkatan kemudahan infrastruktur dan pemacuan taraf hidup, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan Bumiputera yang menjadi tunjang kekuatan negara," katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini. Beliau berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan infrastruktur asas, bekalan air bersih, elektrik serta Internet terus dipertingkat memandangkan kini lebih lapan juta rakyat tinggal di luar bandar. Dalam memastikan kesejahteraan ekonomi Bumiputera pula, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan akan memperkukuhkan akses kepada pembiayaan lebih strategik, contohnya melalui MARA, sekali gus merancakkan lagi pemerkasaan ekonomi negara. Melalui Majlis TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ), beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha melahirkan tenaga berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri yang berkembang pesat, termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan kejuruteraan pintar. "Inisiatif ini bukan saja membuka lebih banyak peluang pekerjaan tetapi juga memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam era ekonomi moden," katanya. Ahmad Zahid turut menggariskan potensi besar industri halal sebagai pemangkin utama ekonomi negara. Beliau berkata, Malaysia mesti kekal sebagai hab halal global dengan memperkukuh ekosistem halal, memperluas pasaran eksport, serta memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa. "Ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion pada peringkat global," katanya. Beliau turut berharap Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemacu utama dalam memperkukuhkan sektor pelancongan. Ia dengan memberi penekanan kepada segmen ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan Islamik dan pelancongan budaya bagi menarik pelaburan serta meningkatkan kedatangan pelancong berkualiti ke Malaysia. Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, usaha berterusan kerajaan membantu rakyat kini diterjemahkan dalam lonjakan peluang pekerjaan. Beliau berkata, buat kali pertama sejak 2018, permintaan tenaga buruh sektor swasta melebihi 9.01 juta, sekali gus menandakan pemulihan kukuh ekonomi selepas melalui situasi ketidaktentuan politik serta kesan pandemik COVID-19. "Ini adalah asas keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi Malaysia yang kembali mengukuh. Saya yakin Malaysia kini berada di landasan kukuh menuju pertumbuhan mampan dan inklusif. "Kejayaan ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan rakyat agar manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. "Bersama, kita pacu ekonomi negara ke masa depan yang lebih gemilang. Insya-Allah," katanya.. |