Kuala Lumpur: Lepasan sekolah menengah yang tiada kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berisiko tercicir dari arus perdana dan sukar mendapat pekerjaan.

Kuala Lumpur: Lepasan sekolah menengah yang tiada kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berisiko tercicir dari arus perdana dan sukar mendapat pekerjaan. Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Azizah Zain berkata, ketiadaan sijil SPM boleh memberi kesan besar terhadap masa hadapan seseorang pelajar.

Menurutnya, dari sudut peluang pekerjaan, kebanyakan majikan menetapkan SPM sebagai syarat minimum untuk pekerjaan asas.

"Tanpa kelayakan ini, pelajar mungkin hanya dapat bekerja dalam sektor tidak formal seperti pekerjaan buruh, perkhidmatan atau kontrak yang selalunya tidak menjamin kestabilan jangka panjang.

"Selain itu, ketiadaan SPM juga menyukarkan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Perkara ini boleh menjejaskan potensi mereka untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji lebih baik di masa hadapan.

"Dari sudut sosial dan ekonomi, mereka berisiko menghadapi ketidakseimbangan dalam kehidupan, termasuk cabaran untuk meningkatkan taraf hidup dan kestabilan kewangan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan seramai 8,076 calon peperiksaan SPM 2024 dilaporkan tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis setakat 6 Februari lepas, di mana 6,231 pelajar ialah calon sekolah KPM.

Menurut KPM, berdasarkan analisis Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon SPM 2024 termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, walaupun tidak memiliki kelulusan SPM, masih terdapat beberapa laluan alternatif yang boleh diterokai pelajar untuk membina kerjaya yang stabil.

Katanya, pelajar boleh menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), GiatMARA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dan Kolej Komuniti.

"Melalui program ini, mereka boleh memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang seperti mekanik, elektrik, kulinari dan perhotelan yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja.

"Kedua, bagi pelajar yang ingin mendapatkan semula kelayakan akademik, mereka boleh mengambil semula SPM Ulangan (SPMU) secara persendirian.

"Selain itu, terdapat juga program pendidikan jarak jauh (e-PJJ) dan APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) yang membolehkan individu yang sudah bekerja menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi berdasarkan pengalaman mereka.

"Ketiga, pelajar juga boleh mempertimbangkan bidang keusahawanan melalui bimbingan dan pembiayaan daripada agensi seperti Tekun, MARA, dan Agropreneur Muda.

"Dengan sokongan yang betul, mereka boleh membina perniagaan sendiri dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, perniagaan kecil dan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak memiliki SPM boleh menjadi satu cabaran, masih ada banyak peluang lain yang boleh diterokai pelajar untuk membina kerjaya yang stabil dan berjaya.

"Apa yang penting ialah kesedaran, bimbingan dan sokongan daripada pihak berkaitan supaya pelajar ini tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

"Walaupun ada pilihan ini, pada pendapat saya, mereka masih perlu dan wajib mengambil SPM untuk jaminan masa hadapan mereka...

keciciran ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan," katanya..