| KUALA LUMPUR: Kerajaan merangka beberapa inisiatif utama bagi memastikan institusi huffaz terus berkembang secara sistematik dan kekal relevan dengan keperluan semasa. KUALA LUMPUR: Kerajaan merangka beberapa inisiatif utama bagi memastikan institusi huffaz terus berkembang secara sistematik dan kekal relevan dengan keperluan semasa. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara inisiatif itu ialah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 yang sedang dibangunkan agar pendidikan tahfiz lebih tersusun dan berkualiti. Beliau berkata, penambahbaikan kurikulum, penyelarasan akreditasi, dan peningkatan infrastruktur serta sumber kewangan menjadi keutamaan dalam usaha memastikan institusi tahfiz melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing. "Dalam usaha memperkukuhkan pengiktirafan terhadap penghafaz al-Quran, kerajaan telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) 2.0 yang bukan saja menilai hafazan 30 juzuk tetapi juga menguji pemahaman serta ilmu Islam lain berkaitan. "Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) turut diperkenalkan sebagai pengiktirafan rasmi kepada huffaz berdasarkan tahap hafazan yang dicapai. "Peperiksaan ini dijalankan dua kali setahun dan dianugerahkan oleh Darul Quran JAKIM," katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasmi beliau, hari ini. Selain pendidikan agama, Ahmad Zahid berkata, generasi huffaz juga perlu didedahkan kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan industri. "Selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, kami memperkenalkan inisiatif TVET-Tahfiz sebagai satu 'game changer' dalam sistem pendidikan negara. "Program ini membuka ruang kepada huffaz untuk menceburi bidang teknikal dan vokasional tanpa mengorbankan keunggulan mereka sebagai penghafaz al-Quran," katanya. Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pada peringkat awal, usaha menanam kecintaan terhadap al-Quran perlu bermula sejak usia kanak-kanak. Menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), katanya, Pra-Tahfiz Tabika KEMAS telah diperkenalkan bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai hafazan al-Quran. Beliau berkata, program itu bukan saja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz tetapi juga menanam nilai-nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil. "Malah, ia mampu menjadi asas kepada sasaran kita untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050. "Ini bukan sekadar angka tetapi satu visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia," katanya. Sebagai simbol kesungguhan dalam usaha memartabatkan huffaz, beliau berkata, Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi, tahun ini. "Ia sebagai manifestasi kepada usaha kolektif mengangkat martabat institusi tahfiz dan meraikan huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat. "Justeru, saya menyeru ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha pemartabatan institusi huffaz. "Bersama, kita dapat memastikan institusi ini terus berkembang dan kekal relevan dalam melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang, berilmu serta berdaya saing," katanya.. |