| KUALA LUMPUR: Pelarasan harga lantai belian padi bukan saja berita gembira kepada pesawah, malah dapat membantu mereka menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan. KUALA LUMPUR: Pelarasan harga lantai belian padi bukan saja berita gembira kepada pesawah, malah dapat membantu mereka menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan. Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini, dapat memberikan penyelesaian 'menang-menang' kepada pihak yang terbabit dalam rantaian industri padi. "Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim, kenaikan kos serta ketidaktentuan geopolitik dunia, Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara," katanya. Sambil menyambut baik pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berhubung perkara itu, MADA memaklumkan bahawa pengguna juga boleh menarik nafas lega apabila harga jualan maksimum beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram. "Bagi mengekalkan harga jualan beras putih tempatan, Kerajaan MADANI memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. "Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit beras putih tempatan dengan kadar berat 10 kilogram (RM26) akan mula berada dalam pasaran secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. "Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion bagi membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, yang bertujuan meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi," menurut kenyataan itu lagi. Dalam pada itu, MADA meminta semua pihak mengetepikan sebarang perbezaan, dan bersama menyokong segala usaha dilaksanakan kerajaan bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa.. |