| JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI KUCHING Kejayaan sesebuah negara tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tetapi harus mengambil kira kualiti hidup rakyatnya. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Ekonomi Amerika Syarikat, Profesor Joseph Stiglitz, bahawa KDNK sahaja tidak mencerminkan kemajuan sebenar sesebuah negara. Menurutnya, meskipun pertumbuhan ekonomi mencatat kadar antara lima hingga lapan peratus, ia tidak semestinya menggambarkan kesejahteraan rakyat sekiranya manfaatnya tidak dirasai oleh semua lapisan masyarakat. “Angka KDNK kadangkala tidak mencerminkan kemajuan sebenar dalam komuniti sesebuah negara. “Ia harus merangkumi perspektif sosial di mana kualiti hidup rakyat mesti dipertingkatkan dan bukan semakin merosot. “Saya cenderung bersetuju dengan Joseph Stiglitz. Sebab itulah dalam Strategi Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), kami menekankan kepentingan keterangkuman sosial,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Kontemporari Antarabangsa 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini. Bagi Sarawak, Abang Johari menegaskan bahawa infrastruktur kekal sebagai keutamaan utama, termasuk bekalan air, tenaga serta sistem perhubungan seperti internet, digital dan jalan raya. “Dengan sumber yang ada di Sarawak, manfaatnya mesti sampai kepada rakyat, terutama di kawasan luar bandar,” katanya. Menurutnya, Sarawak memiliki kelebihan dalam sumber tenaga, namun ia perlu dimanfaatkan dengan dasar dan teknologi yang tepat bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat. “Semalam, saya berada di Institut Yusof Ishak (ISEAS), Singapura, dan berkongsi pandangan dengan para cendekiawan serta pihak industri di sana. “Mereka mengatakan kita sangat bertuah kerana memiliki sumber tenaga, tetapi saya katakan bahawa jika dasar tidak baik dan teknologi tiada, kita hanya mampu melihat sumber tersebut – dan sumber itu juga hanya akan ‘melihat' kita tanpa dapat dimanfaatkan,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak sedang menuju ke arah ekonomi hidrogen , dan keberanian negeri itu mengambil risiko dalam transformasi ekonomi mendapat perhatian ramai pihak. “Mereka cemburu kerana kita berani mengubah ekonomi dengan menggunakan hidrogen sebagai alternatif bahan api fosil. “Saya katakan, ya, Sarawak memang bertuah kerana mempunyai banyak sumber air yang mengandungi oksigen dan hidrogen. “Memisahkan hidrogen pada masa ini memang mahal kerana elektroliser masih berharga tinggi. Tetapi satu hari nanti, kos penukaran ini akan menjadi lebih murah seperti perkembangan dalam teknologi komputer. “Apabila itu berlaku, Sarawak akan memiliki hidrogen yang banyak daripada sumber air kita, termasuk Batang Ai, Murum, Baleh dan sebagainya,” katanya. Selain itu, katanya, Sarawak bukan sahaja mempunyai air untuk menghasilkan hidrogen tetapi juga sumber gas seperti metana (CH? ) yang turut mengandungi hidrogen. Beliau turut menyebut perkembangan teknologi baharu yang menggabungkan hidrogen dengan karbon untuk menghasilkan gas sintetik dan metana sintetik , selain inovasi dalam Carbon Capture, Utilization, and Storage (CCUS). Dalam pada itu, Abang Johari turut mencadangkan agar Sarawak membangunkan kecerdasan buatan (AI) sendiri bagi menguasai teknologi masa depan. “Kita bercakap tentang AI neuro, AI otak, dan perbualan AI yang bermula dengan Lambda. “Saya telah meminta anak Sarawak untuk mencipta AI baharu yang dipanggil ‘DeepSar'. “Jika China mempunyai ‘DeepSeek', biarlah Sarawak menghasilkan ‘DeepSar',” katanya.. |