Februari 11, 2025, Selasa - 2:45pm KUCHING: Hospital Petra Jaya dijangka siap Ogos tahun ini dengan 76 peratus pembinaannya sudah siap sehingga kini.

Februari 11, 2025, Selasa - 2:45pm KUCHING: Hospital Petra Jaya dijangka siap Ogos tahun ini dengan 76 peratus pembinaannya sudah siap sehingga kini. Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu hantaran di Facebook berkata projek yang menelan belanja lebih RM400 juta itu apabila siap nanti akan dilengkapi 300 katil, kemudahan tempat letak kereta bawah tanah serta fasiliti-fasiliti kesihatan lain.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan kerja beliau ke hospital itu semalam.

Media sebelum ini pernah melaporkan bahawa projek Hospital Petra Jaya dikategori sebagai projek sakit selepas berlaku banyak kelewatan sejak pembinaannya bermula pada 2013.

Nanta turut mengingatkan kontraktor yang telah diberi tanggungjawab melaksanakan sesuatu projek agar menyiapkan projek mengikut jadual telah ditetapkan.

“Usaha kementerian untuk menangani projek-projek tertangguh tidak akan berjaya tanpa kerjasama yang baik daripada semua kontraktor.

“Kerajaan Madani terus memastikan kualiti infrastruktur negara dapat disediakan dengan cara terbaik untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengenai perkara lain, Nanta berkata beliau juga telah melawat tapak projek Pangkalan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak.

Beliau menjelaskan bahawa reka bentuk dan pembinaan projek itu bernilai RM174 juta dan dijangka siap Julai tahun ini.

Menurutnya, projek itu sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana danKementerian Dalam Negeri (KDN) selaku kementerian pelanggan.

“Skop kerja melibatkan pembinaan kompleks pentadbiran, kompleks hangar (bangunan menyimpan dan menyelenggara kapal terbang), depoh bahan api, stor bahan kimia, mes pegawai udara, padang kawad, dewan serba guna, garaj kenderaan berbumbung, pejabat pengangkutan, laluan teksi, kawasan khas meletak pesawat udara selain kegunaan memunggah serta memuatkan barang, perlindungan ribut, engine ground run (EGR) dan ruang mencuci,” jelasnya..