Pasir Mas: Permohonan membina semula jambatan runtuh di Kampung Rong Chenok di sini, yang dianggarkan bernilai RM20 juta sudah dihantar kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada minggu lalu.

Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perbincangan sudah dilakukan dengan pihak kementerian dan usul terbabit akan dibahaskan di Parlimen dalam masa terdekat.

“Kita mengharapkan agar permohonan serta usul diterima supaya jambatan sepanjang 100 meter (m) yang menghubungkan Kampung Mahligai dan Kampung Rong Chenok dapat dibina semula dengan segera bagi untuk kegunaan penduduk.

“Saya sendiri turun padang melihat situasi di lokasi dan apa yang berlaku benar-benar menyukarkan lebih 2,000 penduduk mukim itu kerana jambatan ini adalah laluan utama mereka untuk ke sekolah, klinik dan pusat bandar.

“Selain itu, kita difahamkan bahawa penduduk mengambil inisiatif sendiri membina jambatan sementara menggunakan buluh bagi memudahkan penduduk terutama pelajar untuk melintasi sungai ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Food Bank antara Yayasan Muhibbah dan Parlimen Rantau di Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang di sini, semalam.

Siti Zailah berkata, besar harapannya agar kerajaan segera meluluskan permohonan peruntukan untuk membina semula jambatan selain bimbang akan keselamatan penduduk yang terpaksa menggunakan jambatan sementara menggunakan buluh.

Beliau turut berkongsi keputusan permohonan pembinaan baru Jambatan Garu di Kampung Bukit Pak Junoh di sini, yang berjaya mendapat peruntukan kerajaan sebanyak RM9 juta dan akan mula dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kesemua jambatan terbabit musnah akibat arus deras yang melanda jajahan itu hampir pada setiap tahun.

Media sebelum ini melaporkan penduduk Mukim Rong Chenok di sini, bersepakat membina titi sepanjang 100 meter (m) sementara untuk kegunaan orang kampung selepas jambatan utama runtuh akibat arus deras banjir pada 28 November tahun lalu..