Februari 9, 2025, Ahad - 5:56pm KUCHING: Lebih 450 warga kerja Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), baru-baru ini berhimpun meraikan Februari 9, 2025, Ahad - 5:56pm KUCHING: Lebih 450 warga kerja Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), baru-baru ini berhimpun meraikan Majlis Kesyukuran Ulang Tahun Ke-107 dan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Menara Pelita di sini.

Menurut satu kenyataan, majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood yang telah menzahirkan penghargaan kepada warga JTS atas sumbang bakti dalam memastikan visi dan misi jabatan tercapai.

“JTS kini bukan sekadar sebuah organisasi pentadbiran tetapi sebuah institusi penting dalam pembangunan negeri Sarawak, terutama dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang cekap, pembangunan infrastruktur yang terancang dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Jabatan juga perlu melihat ke hadapan dengan memperkasakan perkhidmatan kepada rakyat dengan memanfaatkan teknologi data dan kecerdasan buatan (AI),” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, ujarnya LANDAS Summit 2025 (24 hingga 26 Februari 2025) kali ini akan mengangkat tema AI dan perancangan strategik JTS ke arah 2030.

Perkara tersebut selaras dengan agenda pendigitalan kerajaan negeri, bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat perkhidmatan yang lebih pantas, lebih telus dan lebih mesra pengguna.

Beliau percaya bahawa cabaran pada zaman kini menuntut jabatan untuk berubah, berinovasi dan bergerak ke arah perkhidmatan digital yang lebih cekap dan boleh dipercayai.

Malah, menjelaskan bahawa dunia yang semakin berasaskan data kini, keputusan yang dibuat perlu berdasarkan kepada maklumat yang tepat, pantas dan boleh dipercayai.

Ujarnya jabatan perlu komited untuk menyahut cabaran dengan melaksanakan perkara-perkara berikut iaitu pertama memodenkan sistem perkhidmatan dengan mempercepatkan pendigitalan proses kerja yang rancak diperkenalkan di pentas Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Kedua katanya menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan big data untuk meningkatkan kecekapan dalam pemantauan, perancangan pembangunan serta penyampaian maklumat kepada rakyat dengan lebih cepat dan tepat.

Seterusnya meningkatkan integrasi data antara cawangan-cawangan unit dalam jabatan itu sendiri untuk mengurangkan risiko pertindihan maklumat dan percanggahan data.

Juga, memperkukuh budaya kerja berteraskan inovasi dengan melatih pegawai dan kakitangan dalam kemahiran analisis data serta penggunaan teknologi baharu bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Awang Zamhari turut mengakui bahawa kejayaan 107 tahun pada tahun ini bukanlah milik individu tetapi milik bersama iaitu hasil kerja keras, dedikasi dan kesungguhan seluruh warga JTS dari dulu hingga kini.

“Perubahan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan dan saya mahu warga jabatan bersama-sama terus memberi komitmen untuk memperkasa perkhidmatan kepada rakyat dengan menerapkan inovasi, teknologi dan amalan kerja terbaik,” katanya.

Jelasnya, demi semangat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri Sarawak, disuntikkan lagi dengan semangat 3K, kecekapan, kebijaksaan dan kesepaduan dan beliau yakin jabatan dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun-tahun mendatang.

Sambutan kemuncak majlis diteruskan dengan memotong kek 107 Tahun Jabatan Tanah dan Survei Sarawak oleh barisan pengurusan tertinggi jabatan dan sesi fotografi berkumpulan.

Tidak ketinggalan semua 12 Pejabat Bahagian di seluruh Sarawak turut sama meraikan sambutan ini dan turut sama berlintas langsung melalui panggilan Zoom bagi sesi ucapan dan persembahan khas.

Bagi menyerikan majlis sempena Tahun Baharu Cina pada kali ini, turut diadakan persembahan tarian singa, menggaul Yee Sang oleh barisan pengurusan jabatan, persembahan nyanyian oleh warga JTS dan sesi jamuan petang.

Terdahulu Majlis Kesyukuran Ulang Tahun jabatan itu julung kali telah diadakan pada 2018 sempena sambutan yang ke-100 tahun dan pelbagai pengisian program telah dilaksanakan.

JTS telah ditubuhkan pada 1 Februari 1918 dan sehingga kini jabatan ini terus komited berperanan sebagai Agensi Pemudah Pembangunan di seluruh Sarawak.

Pelbagai evolusi telah dilalui jabatan sepanjang tempoh 107 tahun yang melibatkan perubahan polisi pentadbiran tanah, pelaksanaan projek pembangunan mahupun kemajuan teknologi penyampaian perkhidmatan..