| SEMPENA Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut pada 2 Februari setiap tahun, Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) dan komuniti Orang Semelai di Pos Iskandar, Tasek Bera juga turut menyambut Hari Tanah Lembap Sedunia 2025 pada 2 haribulan Februari lepas. SEMPENA Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut pada 2 Februari setiap tahun, Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) dan komuniti Orang Semelai di Pos Iskandar, Tasek Bera juga turut menyambut Hari Tanah Lembap Sedunia 2025 pada 2 haribulan Februari lepas. Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia tahun ini adalah atas kesedaran penduduk Semelai sendiri tentang pentingnya menjaga kelestarian Tasek Bera bukan sahaja kerana Tasek Bera adalah tapak Ramsar pertama di Malaysia tetapi juga kerana kebergantungan mereka kepada tasik dalam kehidupan mereka. Penduduk Semelai di Pos Iskandar sedar dan faham yang mereka berada di kawasan tanah lembap yang berkepentingan antarabangsa dan boleh memberikan banyak faedah dalam kehidupan seharian mereka secara langsung atau tidak langsung. Atas kesedaran itu mereka tidak ketinggalan bersama masyarakat dunia menyambut Hari Tanah Lembap Sedunia. Tasek Bera adalah Tapak Ramsar Pertama di Malaysia yang diwartakan pada tahun 1995. Tasek Bera merupakan Tasik semula jadi yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 38,446 hektar. Terdapat 14 perkampungan Orang Asli Semelai yang menetap di situ sejak lama dahulu. Di Malaysia terdapat tujuh Tapak Ramsar iaitu Tasek Bera, Pulau Kukup, Tanjung Piai, dan Sungai Pulai di Semenanjung Tanah Melayu dan tiga lagi Tapak Ramsar di Sarawak dan Sabah iaitu Taman Negara Tanah Lembap Kuching, Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama, dan Tanah Lembap Kota Kinabalu. Tema sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia tahun ini “Melindungi Tanah Lembap Untuk Masa Depan Kita Bersama”, memberikan pesanan penting untuk semua penduduk dunia terus menjaga dan memulihara tanah lembap untuk kepentingan semua. Semua tapak-tapak Ramsar dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap. Pihak kerajaan negeri Pahang bersama pihak berkuasa tempatan boleh menyelaras semua pihak agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat umum bekerjasama bagi memastikan inisiatif dan program berkaitan pemuliharaan dan pemeliharaan tanah lembap dapat dilaksanakan dengan baik. Tanah lembap Tasek Bera mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi dari segi ekonomi dalam bentuk hasil hutan, sumber semula jadi akuatik, kawasan tadahan air, kawasan kawalan banjir, kawasan simpanan karbon, dan habitat hidupan air. Majlis sambutan buat pertama kali ini di Pos Iskandar, dihadiri oleh lebih 100 penduduk Semelai tempatan. Turut hadir ialah YB Tuan Khaizulnizam bin Mohd Zuldin ADUN Kemayan. Penguasa Tapak Ramsar En. Fauzul Azim Zainal Abidin, wakil JAKOA En Mohd Asri Hj Uyup, Yang Beradat Batin Norya Abas dan Prof. Dr. Ahmad Ismail, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM). Antara aktiviti yang dijalankan semasa sambutan adalah seminar berkaitan Tapak Ramsar Tasek Bera, perbincangan berkaitan pemuliharaan Tasek bera, melukis dan mewarna untuk kanak kanak, kuiz tentang Tasek Bera, pameran aktiviti PEM bersama penduduk tempatan dan cabutan bertuah. Aktiviti ini memberikan pengetahuan dan kesedaran tinggi tentang Tapak Ramsar, untuk generasi muda dan? komuniti setempat. Perkara lain yang dibincangkan termasuklah pengurusan ekosistem Tasek Bera yang baik, penangkapan ikan yang berlebihan, pemburuan haram, kawalan spesies invasif, pemulihan zon penampan tasik, keseimbangan budaya Semelai dan pemuliharaan, serta kemudahan rekreasi, pelancongan dan pendidikan yang sesuai dengan Tapak Ramsar untuk kepentingan bersama dan kelestarian Tasek Bera. Satu sistem pengurusan yang baik juga perlu diperkenalkan supaya Tapak Ramsar dapat menjana pendapatan sendiri dan dapat meningkatkan kualiti pengurusan terutama dari segi kawalan kelestarian Tasek Bera, penyelidikan dan pendidikan yang menjamin faedah kepada penduduk tempatan. Program ini mendapat sokongan penduduk tempatan yang diketuai oleh Yang Beradat Batin-batin komuniti Semelai, dan berharap Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia dan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia dapat diadakan di Tasek Bera pada setiap tahun. — BebasNews. |